Laksana Mesyuarat UMNO Dengan Tekad Perkukuh Perjuangan, Semarak Kembali Parti – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 6 Mei – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua anggota parti agar melaksanakan persidangan peringkat cawangan UMNO dengan penuh semangat untuk memperkukuh perjuangan agar kembali bersemarak.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, ahli cawangan yang aktif adalah teras utama bagi meneruskan perjuangan UMNO di bahagian dan di peringkat kebangsaan atas tekad demi agama, bangsa dan negara.

“Ahli-ahli UMNO punya tanggungjawab dan amanah maka persidangan peringkat cawangan ini adalah platform bagi kita menggarap strategi serta rancangan demi memperkuat parti bagi meneruskan agenda perjuangan,” katanya.

Terdahulu, beliau telah menyempurnakan persidangan cawangannya iaitu Cawangan UMNO Bunga Matahari di Bahagian Putrajaya pada Sabtu yang diadakan di kediamannya, di sini.

Persidangan terbabit telah berlangsung lancar yang dihadiri ahli jawatankuasa cawangannya bersama-sama ahli cawangan terbabit.

Ujar Tengku Adnan, persidangan cawangan UMNO ini perlu djadikan wadah untuk menyuntik nilai kebersamaan dan menjunjung prinsip kesetiaan terhadap perjuangan parti dengan menolak pelbagai dakwaan negatif pihak luar.

Tegasnya, langkah tersebut dilaksana bukan hanya sebagai mematuhi agenda yang telah digariskan oleh parti malah juga sebagai tanggungjawab bagi memastikan UMNO terus mantap dan bersemarak perjuangannya.

“Lihatlah, apa yang mereka tak kata pada UMNO. Dari UMNO jadi kerajaan, sebagai pembangkang dan hari ini dalam Kerajaan Perpaduan pun masih macam-macam tohmahan dan tuduhan yang mereka lemparkan pada kita.

“Tak cukup parti kita diburukkan, dimanipulasi dan dilemparkan tuduhan, para pemimpin kita pun dilabel dengan macam-macam gelaran walhal yang sebenarnya lebih banyak persesi buruk daripada kebenaran yang nyata.

“Apa yang paling penting adalah tekad dan istiqamah kita kepada parti, yakin dengan asas perjuangan dan bersetia lantas teruskan khidmat bakti yang sememangnya menjadi aspirasi kita untuk bersama rakyat kerana kita adalah berteraskan rakyat, dari rakyat untuk rakyat dan kerana rakyat.”

Persidangan Cawangan UMNO telah bermula pada 22 April hingga 2 Jun di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Apabila berakhir Mesyuarat Cawangan UMNO, ia akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.