KKDW Bangunkan Sistem Profiling Kampung, Pangkalan Data Rujukan Di Peringkat Nasional – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah membangunkan Sistem Profiling Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) yang berfungsi sebagai pangkalan data profil kampung yang komprehensif dan menjadi rujukan utama peringkat nasional.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan adanya program seumpama ini secara tidak langsung mampu menangani sebarang permasalahan di sesebuah kampung secara lebih berkesan.

“KKDW bersedia untuk memberikan kerjasama kepada semua yang bakal terlibat untuk melaksanakan program satu kampung satu pemimpin ini dan untuk bersama diperhalusi dan diputuskan sebaiknya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian sebagai respon kepada saranan Perdana Menteri yang menyebut tentang cadangan satu pemimpin satu kampung.

Ahmad Zahid berkata sebagai Menteri yang melihat kepada kawasan kampung dan desa, beliau menyambut baik dan menyokong usaha tersebut.

Dalam pada itu beliau turut berkongsi berkenaan majlis Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diadakan pagi ini.

Perhimpunan tersebut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Timbalan Menteri di Jabatan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M.Kula Segaran serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan barisan kepimpinan kanan Jabatan Perdana Menteri. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.