Jentera Wanita UMNO/BN Terus Kerja Keras Pastikan Kemenangan Calon Kerajaan Perpaduan

KUALA KUBU BHARU, 6 Mei – Jentera Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadi tulang belakang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dengan terus proaktif memikat hati pengundi yang dilihat menjadi faktor  kepada kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, kata ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya, jentera wanita UMNO/BN amat jitu, malah untuk fasa kedua tempoh berkempen gerak kerja terus dipergiat bagi memastikan kemenangan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan itu.

“Saya nampak jentera Wanita UMNO/BN berusaha bersungguh-sungguh membantu memenangkan calon Kerajaan Perpaduan pada kempen PRK Kuala Kubu Bharu. Gerak kerja di sini diketuai oleh Setiausaha Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Rosni Sohar.

“Ada beberapa ‘area’ yang menjadi fokus Wanita UMNO/BN tapi dalam waktu yang sama bekerjasama dan membantu jentera Harapan serta Kerajaan Perpaduan untuk memenangkan calon agar boleh kekal di Kuala Kubu Bharu.

“Insya-Allah… berdasarkan kepada sambutan dari orang ramai dan potensi untuk mencapai kejayaan maka kemenangan itu ada,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau bersama-sama anggota jentera UMNO/BN telah berkempen di sekitar pasar pagi, di sini, hari ini.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat percaya pengundi-pengundi di Kuala Kubu Bharu semakin bijak dan matang dalam buat keputusan demi kestabilan politik.

“Saya percaya pengundi-pengundi Kuala Kubu Bharu sudah matang dan mereka boleh menilai serta membezakan mana yang baik dan sebaliknya.

“Walaupun ini pertandingan di peringkat negeri tapi Wanita UMNO/BN berusaha membantu memenangkan calon. Kalau lihat kawasan lain tidak ‘representative’ daripada kerajaan, maka macam mana nak bawa suara daripada akar umbi terutamanya dari segi ‘development’ dan bantuan-bantuan lain.

“Kita perlu pandang ke hadapan, bukannya melihat perkara dua, tiga tahun lepas sebab ini kita bergerak di bawah bersama Kerajaan Perpaduan untuk memenangkan calon,” jelas beliau.

Calon Kerajaan Perpaduan dari Dap, Pang Sock Tao akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin calon Bebas.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pagi ini sehingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.