UMNO 78 Tahun: Perkukuh Kesepakatan, Tolak Sentimen Negatif Burukkan Parti – Jamal Nerubi

PAPAR, 6 Mei – Ketulusan perjuangan UMNO bukanlah sekadar sebuah parti politik semata-mata kerana asas dan tujuannya ditubuhkan berteraskan nasionalisme bangsa yang mempelopori kemerdekaan dan kemudiannya membawa kemajuan serta kedaulatan negara.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi yang mahukan ahli-ahli parti terus memperkukuh kesepakatan bagi meneruskan wadah perjuangan parti dan menolak pelbagai sentimen negatif.

Katanya, biarpun usia UMNO bakal genap 78 tahun pada Sabtu ini namun dengan kesepaduan dan kebersamaan maka parti ini akan terus menjadi landasan perjuangan di seluruh negara.

“Perkukuhkan kesepakatan untuk meneruskan wadah perjuangan parti keramat. Tampilkan UMNO yang sentiasa prihatin iaitu dekati akar umbi supaya UMNO
menjadi pilihan rakyat.

“Biarpun usia UMNO di Sabah baru 33 tahun namun jasanya terlalu banyak sebagaimana kelangsungan perjuangan parti ini sejak dari awal penubuhannya hingga ke usia kini 78 tahun keseluruhan maka terlalu banyak budi dan nilai yang telah dilimpahkannya kepada rakyat.” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini beliau menangkis kenyataan beberapa pihak yang memainkan sentimen negatif termasuk dakwaan UMNO parti dari Semenanjung.

“Perjuangan UMNO adalah secara holistik dan diundang atau dipelawa untuk lebarkan sayapnya ke Sabah oleh ramai pemimpin-pemimpin besar Sabah ketika itu agar Sabah juga maju jaya iaitu pembangunannya setara dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia. UMNO bukan bersifat perkauman dan tidak ada sebarang niat tersembunyi.

“Aspirasi perjuangan UMNO tak pernah padam, tampil dengan kesederhanaan membawa nilai satu keluarga besar, saling menyantuni dan saling mendukung untuk keluar dari kemiskinan, menjadi bangsa berilmu dan kemudian membawa kejayaan kepada anak bangsa,” katanya.

Tegas beliau, apa yang perlu difahami ialah perjuangan UMNO selari dengan Perlembagaan Malaysia maka apabila berjuang untuk parti ini samalah seperti mempertahankan Perlembagaan negara.

“Penzahiran sokongan kepada perjuangan UMNO perlu terus dilaksana dalam semua peringkat, setiap masa dan dalam apa jua keadaan dengan kita sendiri tahu, faham dan menghargai nilai sejarah yang UMNO lalui hinggalah kini usianya 78 tahun.

“Ada banyak cabaran, laluannya berliku hinggakan UMNO berdepan dugaan ditentang oleh bekas pemimpin dan juga bekas ahli-ahlinya lantaran pelbagai alasan namun yang nyata UMNO masih tetap UMNO yang ada sejak dulu, kini dan insya-Allah selamanya.

“Jadi, tidak hairan dengan situasi sekarang apabila kita juga berdepan cabaran yang silih berganti namun yakinlah, UMNO ini parti keramat, parti yang dilimpahi rahmat oleh-Nya maka selagi mana kita ahli-ahlinya, dari akar umbi hinggalah ke pemimpin atasan, di semua peringkat sependapat bersepakat maka UMNO akan terus mara,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.