Perjuangan Kita Bantu Najib Razak, Dapatkan Pembelaan Sewajarnya – Ahmad Zahid

 

KUALA LUMPUR, 5 Mei – UMNO akan terus memberi sokongan dan solidariti kepada Datuk Seri Najib Tun Razak atas dasar semangat setia kawan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, begitu juga kesetiaan beliau kepada Najib yang tidak berubah meskipun melayari pelbagai cabaran.

“Yakinlah taat setia saya… setia kawan saya pada Najib tidak pernah berubah.

“Taat setia yang tidak boleh dibeli, bukan kerana jawatan. Kita berada sini kerana kasih sayang dan taat setia kita pada Najib Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kelab Sahabat Najib 87 Penggal 2024/2026 di Auditorium UMNO Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis tersebut ahli keluarga Najib iaitu isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak, Norashman Najib.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut sama mengingati segala jasa dan pengorbanan Najib ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang melakukan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan kepada rakyat.

Mengenang kepada kebaikan Najib tersebut, beliau berkata perjuangan dalam mendapatkan pembelaan sewajarnya ke atas Najib akan terus menjadi fokus UMNO.

“Tokoh yang kita sayangi berada di belakang tirai besi. Inilah mauduk, inilah tajuk kita, inilah perjuangan kita.

“Apapun keadaan… tokoh kita, sahabat kita berada di sana dan kita wajib memperjuangkan nasib beliau,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.