Ahmad Zahid Harap Rakyat Negeri Kedah Terus Nilai Prestasi, Keberkesanan Kerajaan Madani

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar rakyat di Negeri Kedah akan terus menilai prestasi dan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Madani.

Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, peringkat Negeri Kedah, semalam.

“Semalam saya telah mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dan beramah-mesra dengan ribuan masyarakat Negeri Kedah yang hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 peringkat Negeri Kedah di Taman Tasik Darulaman, Jitra, Kedah.

“Majlis ini telah dihoskan oleh Kementerian saya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kesemua agensi di bawah terutamanya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA),” katanya.

Menurutnya, Anwar telah mengulas serba ringkas kesediaan kerajaan meluluskan projek Kerajaan Negeri Kedah yang berkait dengan pembangunan masyarakat di luar bandar.

“Semasa meneliti ucapan Perdana Menteri, beliau telah mengulas serba ringkas mengenai kesediaan beliau untuk meluluskan permohonan projek oleh Kerajaan Negeri Kedah berkait pembangunan untuk masyarakat di luar bandar. Ini susulan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama Kerajaan Negeri Kedah yang telah diadakan sebelum hadir ke majlis ini.

“Saya juga gembira melihat keterujaan orang ramai yang hadir, mereka bukan sahaja dapat menikmati juadah yang disediakan, tetapi juga turut teruja bertemu kepimpinan Kerajaan Madani yang hadir ke majlis ini.

*Saya berharap, masyarakat di Negeri Kedah ini akan terus menilai prestasi dan keberkesanan Kerajaan Madani seterusnya bersama-sama melakukan perubahan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan di negeri ini secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Majlis yang bermula pada pukul 8.00 malam itu dihadiri oleh ribuan masyarakat berbilang kaum yang mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan kedua-dua pimpinan Kerajaan Perpaduan itu di samping menikmati juadah yang disediakan.

Hadir sama pimpinan kerajaan pusat dan juga negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.