UMNO Beaufort Perkukuh Silaturrahim, Hargai Warga Pendidik Penyumbang Kejayaan Anak Bangsa

KUALA PENYU, 4 Mei – Keberadaan dan dukungan UMNO melangkau pelbagai lapisan masyarakat malah turut bersama-sama golongan penggerak dalam memastikan pendidikan dilaksana berterusan.

Bagi UMNO Bahagian Beaufort yang diketuai oleh Datuk Awang Aslee Lakat, kehadirannya dalam Majlis Silaturahim Aidilfitri Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Kuala Penyu yang berlangsung pada Khamis adalah satu ikatan yang amat bermakna.

Katanya, warga pendidik adalah penggerak kepada kejayaan anak-anak tempatan apatah lagi mereka adalah pelapis kepada generasi akan datang yang akan terus membangunkan negara.

“Kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort amat menghargai usaha yang dilaksana… khusus buat warga pendidik terutama sekali para guru besar, sememangnya sumbangan pengorbanan mereka dalam memastikan anak-anak bangsa mendapat pendidikan yang sempurna amat besar sekali,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau mengakui bahawa cabaran yang dihadapi oleh golongan pendidik bukan mudah.

“Kerana itu, kami amat menyokong kebersamaan yang diwujudkan sebagaimana majlis ini agar kita sama-sama dapat berkongsi idea dan bertukar-tukar pandangan bagi memastikan anak bangsa tidak ada yang keciciran dari aspek pendidikan.

“Lebih dari itu, agenda pendidikan adalah antara perjuangan UMNO yang terasnya ada dalam masa depan agama, bangsa dan negara. Kesemuanya adalah bermula dengan pendidikan yang akan memberikan anak-anak celik minda dan dapat melakar masa depan yang lebih baik.

“Sememangnya persatuan ini banyak berjasa kepada anak bangsa kita di Daerah Kuala Penyu khasnya dan di Sabah amnya, malah sentiasa dekat di hati saya.”

Awang Aslee juga turut berterima kasih atas jemputan yang diberikan selaku tetamu kehormat serta memuji langkah dan usaha golongan pelaksana bagi menjayakan majlis sedemikian.

Kehadiran beliau diraikan oleh Guru Besar Cemerlang, Cikgu Nordin Mohd. Taib yang juga Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah merangkap Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Kuala Penyu serta barisan ahli jawatankuasa persatuan dan para guru besar tempatan.

Turut hadir Cikgu Sufian Masrah selaku wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu merangkap ahli jawatankuasa UMNO Bahagian; Naib Ketua UMNO Bahagian, Md Rashid Mathon; Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Norisah Zamzam serta kepimpinan bahagian dan anggota persatuan terbabit. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.