Tengku Zafrul Optimis Sock Tao Diterima Pengundi KKB, Terus Kerja Keras Pastikan Kemenangan

KUALA KUBU BHARU, 4 Mei – Sentimen sokongan pengundi masih lagi ke arah calon Kerajaan Perpaduan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, sambutan yang diterima oleh calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao sepanjang lawatannya ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) beberapa hari telah mendapat sambutan daripada pengundi dan masyarakat tempatan dengan baik.

“Ini adalah kali ketiga saya turun ke PRK Kuala Kubu Bharu dan optimis calon yang telah dipilih dari Kerajaan Perpaduan adalah calon yang boleh diterima oleh semua pengundi-pengundi DUN Kuala Kubu Bharu.

“Dalam tempoh berkempen ini kita harus berkerja keras untuk pastikan terutamanya pengundi-pengundi Melayu keluar mengundi pada 11 Mei nanti dan undi calon yang bernombor dua iaitu Pang Sock Tao.

“Saya berjumpa dengan Ketua-ketua cawangan dan juga sayap-sayap disetiap PDM serta diberi tanggungjawab untuk memantau dan membantu jentera UMNO,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia menyeru jentera parti berkerja keras dengan mengambil pendekatan bertemu seramai mungkin pengundi bagi memastikan kerusi berkenaan dapat dipertahankan.

“Kita telah menyeru supaya jentera parti turun rumah ke rumah dan menceritakan mengenai Kerajaaan Perpaduan yang lakukan terutamanya di negeri Selangor dan kerajaan negeri banyak membantu rakyat.

“Kita nak pastikan supaya DUN Kuala Kubu Bharu terus kekal dan dimenangi oleh Calon Kerajaan Perpaduan. Kita perlukan kemenangan di kawasan ini kerana apabila ia berlaku kemenangan, sudah pasti mampu menstabilkan kerajaan di Putrajaya,” katanya lagi.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.