PM Tidak Pernah Tolak Permintaan UMNO Berkaitan Kepentingan Melayu, Islam

PADANG TERAP, 4 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menolak permintaan UMNO yang memperjuangkan hal berkaitan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Ujarnya, sebagaimana yang terbaharu mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera yang telah diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac lalu.

“Apabila kita berunding dengan Datuk Seri Anwar untuk kepentingan orang Melayu, agama Islam yang diperjuangkan oleh UMNO, Datuk Seri Anwar tidak pernah menolak resolusi dan permintaan UMNO.

“Malah yang terbaharu untuk menterjemahkan agenda Ekonomi Bumiputera, beliau melantik saya sebagai Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera,” katanya di hadapan kira-kira seribu akar umbi ahli UMNO Bahagian Padang Terap di sini petang tadi.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap dalam siri Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO dan seterusnya merasmikan Persidangan Berkelompok UMNO Cawangan dalam Bahagian Padang Terap.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap serta pimpinan parti peringkat negeri dan bahagian.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, Perdana Menteri berharap UMNO akan kembali kuat bagi memperkukuhkan lagi kerajaan yang didukung kini.

“Harapan jangan tinggal harapan. Kita yang mesti menggerakkan dan mengambil tindakan. Dalam Kongres Ekonomi Bumiputera umpamanya terdapat 174 resolusi yang telah dimurnikan dan 150 program yang akan dijalankan.

“Ertinya untuk kita memperjuangkan agenda Melayu ini tidak bererti kita menolak kaum lain… bila disebut Bumiputera termasuk juga orang Siam, Orang Asli turut diperjuangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera. Itulah perjuangan UMNO yang didukung oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga mendedahkan Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha mahu mengharamkan UMNO.

Walaubagaimanapun ujarnya, Anwar pada ketika itu memberi amaran kepada kedua-dua mereka jangan mengharamkan UMNO.

Ujarnya, kejadian tersebut berlaku pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 di mana UMNO dan BN menjadi pembangkang selama 22 bulan.

Seterusnya, Ahmad Zahid berkata UMNO akan terus bersama-sama Kerajaan Perpaduan dalam meneruskan agenda perjuangan parti dalam menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.