PM Dan TPM Santuni Rakyat Kedah, Hadir Majlis Aidilfitri Madani

JITRA, 4 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi santuni rakyat Kedah dengan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri itu yang diadakan di Darul Aman Park di sini malam ini.

Ketibaan mereka berdua disambut meriah ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan dan peringkat umur.

Majlis yang bermula pada pukul 8.00 malam itu dihadiri oleh ribuan masyarakat berbilang kaum yang mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan kedua-dua pimpinan Kerajaan Perpaduan itu di samping menikmati juadah yang disediakan.

Hadir sama pimpinan kerajaan pusat dan juga negeri.

Manakala pada sebelah petang tadi, Anwar bersama Ahmad Zahid menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darulaman, Alor Setar.

Menurut Ahmad Zahid, di dalam pertemuan tersebut, Kerajaan Negeri Kedah telah membentangkan beberapa cadangan pembangunan di negeri ini khususnya berkait dengan projek-projek pembangunan di luar bandar.

Seterusnya tambah Ahmad Zahid, beliau menyaksikan sikap kepedulian yang dizahirkan oleh Perdana Menteri terhadap usaha pembangunan ke arah kesejahteraan rakyat Kedah sepertimana yang telah dibentangkan.

Justeru, Ahmad Zahid yakin, di bawah kepimpinan Kerajaan Madani, setiap cadangan projek akan diberikan perhatian dan diperincikan sewajarnya terutamanya oleh Perdana Menteri untuk kemajuan di negeri Kedah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.