Kestabilan Politik Penting Bawa Perpaduan Pada Rakyat – Shamsul Anuar

KUALA KUBU BHARU, 4 Mei – Kestabilan politik penting bagi meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap ekonomi negara dan juga menaik taraf kehidupan rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Menurutnya selain itu kestabilan politik amat diperlukan, dengan konsep pelbagai parti politik di negara ini yang mempunyai agenda dan ideologi masing masing namun apa yang penting ia tidak membantutkan perkembangan ekonomi negara.

“Saya percaya rakyat di semua peringkat inginkan sebuah negara stabil, maka tidak ada cara lain dan kalau dalam pilihan raya tentulah perlu bekerja untuk menangkan calon Kerajaan Perpaduan bagi membolehkan menjayakan kestabilan.

“Apabila negara ini stabil dengan sendirinya ia juga memberi kebaikan pada parti UMNO. Kalau negara tidak stabil dan kerajaan juga tidak stabil maka UMNO yang berada di dalam kerajaan ini akan terkesan.

“Sebab itu kita mesti pastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) untuk kebaikan bersama termasuk juga UMNO yang berada dalam pada kerajaan hari ini… faktor yang penting harus ditekan adalah mengenai kestabilan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Shamsul yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri menjelaskan perkara utama ialah  memastikan agenda parti dalam Kerajaan Perpaduan dapat berfungsi dengan baik terutamanya dari segi ekonomi rakyat.

“Yang penting untuk memastikan agenda parti UMNO dapat dilaksanakan dengan baik dan pastikan kerajaan yang ada hari ini dapat berfungsi dengan sempurna apatah lagi kita berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran baik dari segi ekonomi, mengatur rakyat dan sebagainya,” katanya lagi.

Calon Kerajaan Perpaduan dari Dap, Pang Sock Tao akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin calon Bebas.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pagi ini sehingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.