PRK KKB: UMNO Terus Nyata Komitmen Penuh Bantu Calon Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 3 Mei – UMNO menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menyatakan komitmen penuh untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan yang diwakili oleh Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa parti akan menggerakkan jentera Bahagian daripada seluruh negeri Selangor dan Negeri-Negeri yang diterajui UMNO.

“UMNO memberikan komitmen penuh untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan Malaysia yang diwakili oleh parti Pakatan Harapan dalam PPRK DUN KKB dengan menggerakkan jentera bahagian daripada seluruh Negeri Selangor dan negeri-negeri yang diterajui UMNO,” katanya.

Terdahulu beliau bersama-sama dengan kepimpinan MKT dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, hari ini.

Untuk rekod PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari dengan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Dalam kenyataan ini juga, UMNO turut sama menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam.

“Kenaikan sebanyak 15 peratus mulai 1 Disember 2024. Ini pastinya mampu menyantuni harapan dan aspirasi penjawat awam sejak sekian lama,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini, sekali gus muncul antara kenaikan tertinggi diumumkan.

Anwar berkata ia adalah antara usaha mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi dengan kenaikan membabitkan gaji pokok dan bukannya elaun, selain perincian akan dibincang pada mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.

Menyifatkan pengumuman dibuat sempena Hari Pekerja itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa penjawat awam kepada negara, Perdana Menteri pada masa sama mahu golongan berkenaan terus meningkatkan produktiviti, selari kenaikan gaji dinikmati. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.