PRK KKB: Kesepaduan, Kerjasama Pimpinan BN Dan PH Terserlah – Zambry

KUALA KUBU BHARU, 3 Mei – Kehadiran pimpinan tinggi Barisan Nasional (BN) termasuk daripada MIC yang membantu kempen calon Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB), membuktikan dakwaan perpecahan dalam gabungan itu tidak berasas, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurutnya, kerjasama erat daripada semua parti komponen akan memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, sokongan masyarakat khususnya kaum India terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao semakin mendapat momentum positif, sekali gus memperlihatkan mereka yakin dengan kerajaan sedia ada.

“Kita dapat menyaksikan sendiri bagaimana kesepaduan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan ini. Seperti yang dimainkan oleh sesetengah pihak bahawa kerajaan ini berpecah sesama sendiri, orang ini tidak mahu tolong diantara satu sama lain namun hari ini terbukti semua kalangan dalam konteks pengundi-pengundi masyarakat India yang ada di Kuala Kubu Bharu ini berkumpul memberi sokongan kepada calon Perpaduan. 

“Dengan kehadiran begitu ramai yang ada didalam kawasan Kuala Kubu Bharu ini menunjukkan satu petanda yang baik dan tahap sokongan kepada kerajaan ini.

“Matlamat kita ialah untuk memastikan calon daripada Kerajaan Perpaduan dapat menang pada PRK dan mengharapkan sokongan ini berterusan sehingga 11 Mei nanti,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Malam Perpaduan Sempena Hari Pekerja 2024, Bertempat di Dewan Serbaguna Chuang, Rasa, Kuala Kubu Bharu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Zaidy Mohd Zain serta pimpinan UMNO/BN dan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata ada sesetengah pihak cubaan menghasut supaya pengundi India tidak menyokong calon Kerajaan Perpaduan dan beliau menyifatkan itu perkara biasa dalam kempen pilihan raya.

“Proses demokrasi masing-masing akan memberikan pandangan mereka tetapi saya percaya masyarakat India di mana saja dalam konteks Kuala Kubu Bharu ini begitu matang.

“Mereka mahu memilih sebuah kerajaan yang benar-benar dapat berfungsi dan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka dan kerajaan itu adalah Kerajaan Perpaduan,” jelas beliau.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao; calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Suat; calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.