PRK KKB: Kempen Menyesatkan Ramasamy Dan Fadhli Shaari- Puad

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas P Ramasamy dan Fadhli Shaari yang disifatkan beliau mengamalkan kempen sesat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Katanya ini kerana tindakan P Ramasamy mengajak orang India untuk tidak menyokong calon Pakatan Harapan (PH).

Puad yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rengit dalam pada itu turut berkongsi pengalaman beliau yang pernah berdebat dengan Ramasamy suatu ketika dahulu.

“Saya pernah berdebat dengan Ramasamy pada tahun 2008 di UUM. Dia baru menang Parlimen Batu Kawan Pulau Pinang.

“Ketika itu saya sudah beranggapan dia tidak boleh pergi jauh. Dia professor yang masuk politik tetapi akan mati di tengah jalan. Betul pun

“Ramai profesor tidak realistik bila masuk politik. Ramasamy tubuh parti baru. Dia tahu dia tidak ada magnet untuk tarik penyokong,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Puad lagi, Ramasamy juga bukanlah ikon pembela kaum India kerana memasuki politik tanpa akar umbi.

“Sebab itu partinya tidak berani bertanding di PRK Kuala Kubu Baru,” ujar beliau.

Menurut beliau, perkara sama dilakukan oleh Fadhli Shaari yang memainkan isu pendidikan calon Kerajaan Perpaduan.

“Fadhil Shaari pun satu hal. Tiada keperluan mainkan isu Pang Sock Tao calon Dap berkelulusan SJKC. Itu bukan sekolah haram.

“Kalau dia lulus sekolah kecantikan atau sekolah pondok sekali pun apa masalahnya? Kedua-dua P Ramasamy dan Fadhli Shaari sebenarnya mengamalkan kempen menyesatkan,” tegas Puad.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ianya merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.