Jangan Sibuk Rumah Tangga Orang, UMNO Sabah Terus Tekad Perkukuh Parti – Sharif Musa
LAHAD DATU, 3 Mei – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul membidas mana-mana pihak yang masih terus mahu mengkritik UMNO biarpun sudah tidak lagi menjadi ahli parti terbabit dan beralih kepada pihak lain.
Katanya, UMNO Sabah yang berada di bawah pentadbiran Datuk Seri Bung Moktar Radin terus komited dalam tekad memperkukuh kembali parti selari dengan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
“Saya terpanggil mengulas satu kenyataan ekoran ada pihak yang sibuk mengkritik ‘rumah tangga’ orang lain sedangkan mereka ini tidak ada dalam rumah kita.
“Benar UMNO Sabah telah melalui sejarah pahit selepas PRU-14 tahun 2018 namun walaupun pahit untuk ditelan, tetapi Datuk Seri Bung Moktar Radin mengemudi kembali parti … perlu bangkit semula dari keruntuhan yang dihadapi.
“Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Pengerusi UMNO Sabah selepas pemimpin-pemimpin UMNO ketika itu menjadi ‘katak’ dan mahu memusnahkan UMNO, malah tidak yakin hala tuju UMNO di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Ujarnya, UMNO Sabah hari ini mempunyai semangat baharu dan terus bertahan kerana sokongan dan dukungan daripada akar umbi parti yang terus kepada ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
“Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati daripada melihat sejarah selepas PRU-14 apabila UMNO Sabah ditinggalkan dan mahu dikuburkan. Bukan kecil langkah seorang ketua UMNO Sabah bagi menggamit semula akar umbi untuk menegakkan kemulian dan darjat UMNO Sabah kembali lantas hari ini kita mengorak menuju kemenangan kelak.”
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk bersifat telus tanpa menidakkan kewujudan UMNO di Sabah dalam pelbagai aspek waima kemajuan yang telah dipelopori pada era kepimpinan lalu.
“Hamparlah selaut mutiara, segunung emas permata, nilai dan maharnya tidak akan pernah sama dengan sekeping maruah UMNO Sabah yang berjaya diangkat dari tapak kaki mereka yang inginkan kemusahan UMNO Sabah.
“Sesungguhnya, pejuang sejati yang istiqamah dalam UMNO tahu dan kenal siapa kawan dan siapa lawan kerana kami yakin dengan landasan perjuangan kami iaitu kerana Islam, demi bangsa dan untuk tanah air tercinta,” katanya lagi. – UMNO Online