PRK KKB: Pilih Calon Kerajaan Perpaduan, Orang Muda Punya Idea Lebih Segar – Nor Nabila

KUALA KUBU BHARU, 2 Mei – Pergerakan Puteri UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Hulu Selangor menzahirkan penghargaan pada pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan yang mencalonkan anak muda sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketuanya, Nor Nabila Fazurin Mohd Mokhtar berkata ini kerana golongan muda bakal menjadi penentu kepada kemenangan parti serta mempunyai pandangan yang segar.

“Puteri UMNO/BN Hulu Selangor berterima kasih pada pihak Kerajaan Perpaduan kerana mengetengahkan orang-orang muda seperti calon Kerajaan Perpaduan dari Pakatan Harapan (PH).

“Apabila orang muda bertanding sudah pasti mempunyai idea dan pandangan yang lebih segar dan perkara tersebut sangat menggembirakan Puteri UMNO/BN Hulu Selangor.

“Pada masa yang sama juga kami mengharapkan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan. Jadi kita mahu utamakan pandangan orang muda dan kemenangan ini dapat memajukan kawasan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Seterusnya kata Nabila, Puteri UMNO/BN terus berganding bahu dan menyantuni masyarakat terutamanya anak-anak muda bagi memastikan kemenangan berpihak pada Calon Kerajaan Perpaduan.

“Puteri UMNO/BN Hulu Selangor sudah memulai dan pergi menziarah kasih pengundi muda di sekitar Kuala Kubu Bharu dan insya-Allah selepas ini akan terus berkempen demi Kerajaan Perpaduan.

“Puteri UMNO/BN Hulu Selangor terus berganding bahu bersama-sama untuk turun ke padang terutama untuk pengundi-pengundi muda,” jelas beliau.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ia merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.  – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit