PRK KKB : Perang Bendera, Kain Rentang Semakin Meriah
KUALA KUBU BHARU, 2 Mei – Kemeriahan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) semakin dirasai apabila jentera masing-masing menggerakkan berkempen serta memasang bendera parti di sepanjang jalan raya.
Perang bendera khususnya di kawasan bandar sudah mula kelihatan apabila petugas jentera dilihat memacak bendera di lokasi strategik.
Tinjauan UMNO Online mendapati bendera Pakatan Harapan (PH) telah dipasang di tepi jalan-jalan utama. Poster wajah calon Kerajaan Perpaduan terutamanya ‘billboard’ dan ‘banner’ meriah di beberapa lokasi seperti di persimpangan jalan dan bilik gerakan parti.
Seperti biasa, penyokong parti antara tulang belakang dalam menyempurnakan tugas itu, sanggup bersengkang mata menyiapkan segala persiapan serta memasang bendera parti sama ada di waktu siang mahupun lewat malam.
Pemasangan bendera, ‘billboard’ dan ‘banner’ juga dipantau setiap hari bagi memastikan ia tidak mendatangkan sebarang kemudaratan serta mengganggu keselamatan pengguna jalan raya khususnya bagi penunggang motosikal.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Ianya merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022. – UMNO Online