Mesyuarat Cawangan UMNO, Ruang Kembali Ke Landasan Perjuangan – Rais

TANGGA BATU, 2 Mei – Persidangan Cawangan UMNO telah bermula pada 22 April hingga 2 Jun di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berpesan agar ruang yang ada ini diaplikasi oleh ahli-ahli UMNO untuk kembali kepada asas perjuangan perjuangan parti.

Ini kerana kata beliau, UMNO berbeza dengan parti-parti politik lain iaitu tertubuh atas tujuan bersatu padu dan bukan daripada hasad dengki atau rasa kecewa.

“Ambillah masa di bulan mulia ini untuk berfikir sejenak dan kembali kepada landasan perjuangan parti. Kalau lihat parti-parti politik lain tak sama kekuatannya seperti mana UMNO yang mempunyai struktur daripada Pusat, Wanita, Pemuda dan Puteri hinggalah ke akar umbi.”

Ujarnya, kelainan UMNO adalah berbeza jika dibandingkan dengan parti-parti politik lain.

“Sebenarnya uniknya UMNO ini sudah tentu amat berbeza dengan parti-parti politik lain kerana UMNO ini terbentuk daripada ahli-ahli akar umbi khususnya orang Melayu/Bumiputera yang inginkan kepada satu penyatuan supaya kita dapat bersama-sama memperjuangkan satu-satu perkara.

“Kalau kita lihat Wanita UMNO bukan hanya terlibat dalam sesi semasa pilihan raya misalnya membuat jalinan rakyat dan sebagainya tetapi wanita inilah tonggak kekuatan UMNO yang bergerak setiap masa.

“UMNO ini bukanlah satu parti politik yang dibentuk atas dasar hasad dengki atau kalah dalam pemilihan dan sebagainya. Kekuatan akar umbi ini struktur yang dibentuk sejak sekian lama malah ia adalah kekuatan UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, berkata ruang yang ada dalam mesyuarat Cawangan UMNO ini perlu diaplikasi sebaiknya.

“Inilah masanya setiap tahun sama ada wujud pemilihan atau tidak ada maka ahli-ahli UMNO dapat berkumpul, berbincang, bermusyawarah dan dalam masa yang sama memastikan ukhwah dalam parti itu dikekalkan,” katanya lagi.

Terdahulu Rais telah mengadakan Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Tangga Batu yang berlangsung pada Ahad dengan perasmiannya disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Apabila berakhir Mesyuarat Cawangan UMNO, ia akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.