Isu 3R: Pentingnya UMNO Berada Dalam Kerajaan Perpaduan… Pertahan Kesucian Agama Islam

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah penting untuk mempertahankan kesucian agama Islam di samping menjaga hak keistimewaan orang Melayu.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, UMNO tidak seharusnya terjebak dalam permainan isu 3R (raja, agama, bangsa) secara retorik seperti yang dimainkan oleh pembangkang pada ketika ini.

“Paling penting adalah UMNO tidak terjebak dalam permainan isu 3R yang dimainkan oleh pihak pembangkang. Memang tidak dapat dinafikan dengan menggunakan isu ini, pihak pembangkang dapat meraih simpati terutama sekali daripada pengundi Melayu yang terpengaruh dengan retorik mereka.

“Retorik ini digunakan untuk menunjukkan bahawa hanyalah mereka yang mampu mempertahankan kesucian agama Islam, hak orang Melayu ataupun institusi monarki,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, UMNO perlu mempamerkan bahawa parti itu mempunyai kekuatan dalam mempertahankan isu 3R lebih-lebih lagi apabila mereka berada di dalam kerajaan.

“Itu persepsi yang diberi. Jadi, UMNO jangan terjebak menggunakan isu ini untuk meraih sokongan orang Melayu kerana pihak pembangkang juga tahu bahawa hanya dengan sokongan yang mereka ada sekarang tidak cukup untuk menjadikan mereka kerajaan di peringkat nasional.

“Dalam hal ini, UMNO perlu mempamerkan bahawa mereka juga mempunyai kekuatan. Malah lebih ada kekuatan kerana berada dalam kerajaan dan juga perlu tonjolkan mereka mampu berhadapan sesiapa yang mencabar agama Islam. Itu penting.

“Tapi tidak perlu menjadi seperti Pas umpamanya kerana mereka terlampau retorik. Memang sedap didengar tetapi isinya kurang. UMNO perlu menunjukkan sesuatu bahawa kesucian agama Islam, hak orang Melayu itu sentiasa dipertahankan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa UMNO mampu untuk menangkis segala persepsi terutamanya melibatkan isu 3R melalui justifikasinya tersendiri.

“Penting bagi UMNO berada dalam kerajaan kerana itu adalah cara yang paling efektif untuk mempamerkan, menunjukkan bahawa isu 3R itu perlu dipertahankan… kepentingan 3R seperti kesucian agama Islam dan institusi monarki itu lebih baik dipertahankan melalui dalam kerajaan sendiri.

“Ini kerana pembangkang hanyalah retorik dalam isu ini. Itu naratif yang perlu ditonjolkan oleh UMNO. Tidak perlu terjebak menjadi retorik juga dalam hal ini, pamer bahawa mereka mampu pertahankan agama Islam kalau dibangkang dari dalam kerajaan.

“UMNO mampu menangkisnya dengan justifikasi-justifikasi sendiri. Ini cara yang paling efektif. Bukanlah berbanding menjadi retorik seperti pihak pembangkang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.