Sambutan Syawal: Ahmad Zahid Dan Jalaluddin Raikan Keluarga Jelebu

JELEBU, 1 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bersama ribuan penduduk Jelebu hadir memeriahkan suasana Sambutan Aidilfitri UMNO bahagian Jelebu yang diadakan di Simpang Pertang.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri tiba kira-kira jam 3.00 petang di Bangunan UMNO Jelebu dan disambut Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta penduduk setempat.

Pelbagai lapisan masyarakat serta pelbagai kaum hadir sejak awal petang bagi sama-sama memeriahkan suasana sambil menikmati juadah hidangan yang disediakan.

Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan bersama pimpinan yang lain meraikan tetamu yang hadir sambil bertanya khabar dan berbual mesra pada majlis meraikan warga Jelebu.

Dalam ucapannya, Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada seluruh keluarga Jelebu yang hadir memeriahkan sambutan hari raya berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan insya-Allah kita dalam satu keluarga Jelebu akan memastikan hubungan yang erat ini sentiasa terjalin.

“Insya-Allah bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri, kita akan terus mengekalkan prestasi menjaga kesejahteraan rakyat bersama-sama dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagi memastikan rakyat Negeri Sembilan terus mendapat pembelaan,” ujarnya.

Antara pimpinan lain yang hadir Undang Luak Jelebu Ke-16, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta lain-lain.

Pelbagai menu yang disediakan termasuk apam balik, laksa, nasi lemak, sate, nasi himpit, dodol dan lemang serta pelbagai juadah lain memeriahkan lagi suasana sambutan sambil masing-masing menjamah hidangan sekaligus dapat mengeratkan lagi tali silaturahim di kalangan penduduk setempat.

Mereka yang hadir juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar di ruangan yang disediakan oleh pihak penganjur dan masing-masing turut bergambar bersama Ahli Parlimen Jelebu sebagai kenangan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.