Hari Pekerja: Segerakan Penubuhan Suruhanjaya Gig Ekonomi, Jayakan ‘Win-Win Situation’

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Pengerusi Sekretariat Kesatuan Pekerja dan Gig Ekonomi UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melihat sambutan hari pekerja pada 1 Mei setiap tahun sewajarnya memberi kebaikan dan limpahan manfaat untuk pekerja serta majikan seluruh negara.

Bagi beliau dengan kombinasi berkenaan tentunya akan meningkatkan lagi produktiviti sekaligus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara serta rakyat.

“Namun pada masa yang sama kerajaan perlu melihat dan seharusnya mengkaji semula antaranya gaji minimum untuk rakyat tempatan dan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa negara.

“Saya bercakap dalam konteks rakyat kita yang tentunya masing-masing memerlukan rumah…keperluan kehidupan lain dan sebagainya. Ingin saya tekankan bukan soal diskriminasi terhadap rakyat asing tetapi inilah realitinya. Rakyat asing mungkin RM1,500 mencukupi… namun untuk rakyat tempatan jumlah berkenaan pada hemat kita memerlukan kajian semula.

“Seterusnya sempena hari pekerja ini, kita mengharapkan agar kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Gig Ekonomi. Suruhanjaya ini amat perlu apatah lagi pada masa akan datang ini akan menjadi ‘trend’ ekonomi negara.”

Katanya, ada yang akan laksanakan dua atau tiga kerja secara ‘free lunch’ dan sebagainya.

“Tentunya ini memerlukan badan yang kawal selia untuk manfaat pekerja sektor tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Lantaran itulah katanya lagi penubuhan Suruhanjaya Gig Ekonomi amat perlu dan mesti disegerakan untuk manfaat mereka yang menceburkan diri dalam sektor berkenaan.

Pada masa yang sama beliau seterusnya percaya kaedah baru berkenaan akan melahirkan ekosistem yang baik untuk rakyat pada masa akan datang.

Beliau seterusnya berharap ‘win-win situation’ antara pekerja dan majikan dapat diaplikasikan sebaik mungkin di negara ini  kerana jika mengharapkan pekerja sahaja untuk meningkatkan produktiviti dan sebagainya lagi sudah pasti tidak mencapai matlamat yang sebaiknya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.