UMNO/BN Sabah Terus Diyakini Rakyat, Fokus Raih Kembali Sokongan
KINABATANGAN, 30 April – UMNO/Barisan Nasional (BN) bertekad untuk mengembalikan kekuatan parti dan meraih semula sokongan rakyat agar dapat membela mereka.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan, Rahia Arpaih berkata sekiranya UMNO/BN ditakdirkan berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri maka fokus adalah untuk memastikan nasib rakyat terbela.
“Di dalam kesibukan kita meraikan Syawal ini, sedar atau tidak hari ini rakyat di negeri ini terbelenggu dengan pelbagai tekanan kehidupan disebabkan kelembapan pentadbiran kerajaan negeri yang ada hari ini.
“UMNO/BN akan memastikan nasib anak-anak peneroka terbela dan mendapat keutamaan bagi mengisi peluang pekerjaan sama ada di dalam sektor perladangan sawit yang ada di sekitar DUN Sukau dan Kinabatangan,” katanya dipetik dari UMNOSabah Online.
Dalam masa yang sama, Rahia yang juga Ketua PDM Suan Lamba yakin bahawa UMNO/BN akan mampu melaksanakan gerak kerja sebagaimana perancangan dibuat.
“Saya yakin dan percaya UMNO/BN akan mampu melaksanakan apa yang telah kita rancangkan dan berusaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti yang telah banyak berjasa,” katanya lagi.
Dilaporkan, rakyat Sabah terbelenggu dengan pelbagai tekanan ekoran kelembapan ekonomi negeri selain masalah kekangan berkaitan kemudahan infrastruktur termasuk masalah bekalan air, bekalan elektrik dan sebagainya yang menggangu kelancaran dalam aktiviti seharian. – UMNO Online