TVET Lagi? Ya, Saya Sentiasa Beri Tumpuan Kepada Masa Hadapan Anak-Anak Muda – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau sentiasa memberikan tumpuan kepada agenda penting negara khususnya masa hadapan anak-anak muda di seluruh negara.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah menghadiri Majlis Anugerah TeknoUsahawan TVET Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2023 yang dianjurkan buat julung kalinya, semalam.

“Malam tadi saya telah menghadiri Majlis Anugerah TeknoUsahawan TVET KKDW 2023 yang dianjurkan buat julung kalinya bagi memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada institusi, pengajar, pelajar, graduan dan alumni yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang keusahawanan TVET.

“TVET lagi? Ya, saya akan sentiasa memberi tumpuan kepada satu agenda yang sangat penting untuk negara, khususnya buat masa hadapan anak-anak muda di seluruh negara.

“Semasa berucap, saya menyatakan hasrat ingin melihat peranan Institusi TVET KKDW diperkukuhkan. Saya mahu budaya TeknoUsahawan dalam kepimpinan tenaga pengajar dan pelajar lebih giat diperkasakan. Saya mahu TeknoUsahawan ini menjadi satu pemangkin baharu dalam kita menggerakkan aliran TVET di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, beliau akan berusaha untuk menyelaraskan bersama kementerian-kementerian yang berkenaan bagi menggabungkan kelebihan pengetahuan teknikal dan kemahiran usahawan.

“Kebetulan saya adalah Pengerusi Majlis TVET Negara dan Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK). Saya akan berusaha untuk selaraskan bersama Menteri-Menteri dan Kementerian yang berkenaan bagi menggabungkan dua kelebihan iaitu pengetahuan teknikal dan kemahiran keusahawanan. Saya percaya usaha ini kelak mampu mencipta inovasi yang hebat dalam memimpin kemajuan ekonomi negara di masa hadapan.

“Syabas dan tahniah kepada penerima anugerah pada malam ini. Anugerah ini melambangkan kegigihan, kemampuan dan kejayaan anda dalam memangkin agenda TVET Negara.

“Saya menaruh keyakinan agar penganjuran anugerah seumpama ini dapat mencapai matlamat penganjurannya serta menyuntik semangat dan motivasi kepada lebih banyak lagi warga Institusi TVET KKDW untuk terus menyumbang perkhidmatan yang terbaik dan bersaing secara sihat untuk melakar kejayaan demi kejayaan,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan, kerajaan komited untuk melahirkan golongan usahawan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau teknousahawan yang berjaya untuk tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang yang mampu meneroka pasaran sehingga ke peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini, hasil bimbingan dan latihan agensi kerajaan, golongan itu sudah mula wujud namun belum sampai ke tahap boleh dibanggakan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dalam mendepani arus revolusi teknologi semakin pantas, negara perlu melahirkan golongan teknousahawan yang bukan saja mampu mengusahakan perniagaan, malah mempunyai pengetahuan saintifik dan kemahiran teknologi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.