Perjuangan Parti Lebih Penting Berbanding Emosi – Nurul Amal

KUALA KUBU BHARU, 30 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menasihati jentera Puteri Barisan Nasional (BN) agar jangan terikut dengan emosi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ini kerana katanya perjuangan parti lebih penting berbanding kepentingan emosi peribadi dan harus bersikap rasional.

“Mana nak ikut antara emosi atau pun perjuangan kita? Mana kita nak pilih? Perjuangan parti yang harus pilih. Saya berada di sini kerana perjuangan parti dan percaya jentera Puteri Barisan Nasional (BN) semuanya berjuang kerana parti dan sayangkan parti ini.

“Walau macam mana keadaannya UMNO/BN masih lagi memegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan. Paling penting perjuangan parti sekarang ini. Ada masa PRK, UMNO/BN meletakkan calon. Kalau nak bermain dengan emosi yang masih lagi tidak memikirkan keadaan parti hari ini maka ianya tidak elok untuk perjuangan kita.

“Kalau betul-betul sayangkan parti kena fikir mana yang terbaik untuk parti. Dimana diletakkan sesuatu itu dalam kerajaan ataupun tidak adalah untuk parti. Apa yang berlaku, sudah berlaku dan ujian yang kita jalani hari ini kena ubah bersama-sama dan pastikan perjuangan parti terus bersama kerana harapan kita mahukan parti ini kembali kuat, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi bersama jentera Puteri BN di Dewan Seminar UMNO Bahagian Hulu Selangor, malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim; Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Selangor, Nor Nabila Fazurin Mohd Mokhtar serta kepimpinan bahagian.

Mengulas lanjut, kata Nurul Amal lagi kerajaan yang dibentuk sekarang ini adalah gabungan semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Adakah kerajaan hari ini dibentuk oleh parti kita? Kita pernah merasa keadaan berada dalam kerajaan dan kerana itu kadang-kadang emosi tidak boleh kawal dan masih membandingkan iaitu dulu… dulu… dulu,” ujarnya.

Tegasnya, situasi politik kini dinamik dan pejuang parti harus mengikuti situasi tersebut.

“Situasi politik ini tidak boleh pandang setahun atau dua tahun tapi situasi ini kena pandang sekarang dan apa akan terjadi tiga, empat, lima bulan akan datang.

“Situasi hari ini adalah kerana kita tidak meletakkan calon di Kuala Kubu Bharu ini dan rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang meletakkan calon tersebutmaka kita menyokong calon ini kerana kita berada dalam kerajaan bersama,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.