Laporan Bank Dunia: KPM Ada Ramai Pakar Yang Berkelayakan Tinggi Tapi Di Mana Silapnya

KUALA LUMPUR, 30 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berharap kerajaan melalui Kementerian Pendidikan untuk mengkaji laporan Bank Dunia yang memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan di Malaysia.

Kebimbangan tersebut adalah berkenaan hanya 58 peratus pelajar di negara ini didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5.

Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, perkara tersebut suatu yang menghairankan kerana setiap tahun kerajaan memberikan perbelanjaan yang tinggi kepada KPM.

“Kalau ikut logik macam tidak logik. Bajet pendidikan setiap tahun amat tinggi. Kita juga telah merombak dasar pendidikan beberapa kali. Hatta tidak boleh dinafikan KPM ramai pakar yang berkelayakan tinggi. Di mana silapnya?

“Sebenarnya Bank Dunia telah beri jawapan konkrit kenapa ia berlaku. Maka KPM patut fokus terhadap punca tersebut dan mencari cara lebih efektif untuk mengatasinya.

Beliau berkata antaranya ialah “akses terhad” kepada pendidikan pra sekolah berkualiti khususnya di kawasan pedalaman kerana masih ramai anak anak pedalaman tidak memasuki pra sekolah.

“Di Malaysia jumlah sekolah kategori pedalaman masih banyak. Sekolah pedalaman adalah sekolah serba kekurangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau malah berkata jarak di antara rumah ke asrama desa yang jauh juga sedikit sebanyak menyukarkan ibu bapak untuk menghantar anak ke sekolah.

“Masalah paling rumit ialah sekolah terlalu jauh. Ada yang berjalan kaki dan naik bot untuk ke sekolah. Maka mereka perlu tinggal di asrama desa kalau mahu ke sekolah.

“Bagaimana murid pra sekolah mahu tinggal di asrama? Umur prasekolah tidak sesuai diam di asrama. Apa lagi kalau masih guna kain lampin atau pampers.

“Itu puncanya ramai yang tidak dapat belajar di prasekolah. Tidak mungkin mereka berulang alik jalan kaki atau naik bot untuk ke prasekolah. Ia melibatkan kos diesel,” soal beliau.

Puad dalam pada itu berkata prasekolah rumah panjang di bawah kendalian KPM juga tidak berada di semua rumah panjang.

Malah tegas beliau, isu-isu tersebut antara permasalahan yang masih membelenggu dan disebabkan faktor tersebut ramai anak-anak di pedalaman tidak memasuki prasekolah seterusnya penyumbang besar 42 peratus tidak mahir membaca usia Darjah 5.

“Tetapi tidak semua rumah panjang ada prasekolah. Tidak semua guru pra sekolah sanggup duduk di rumah panjang. Ada NGO dan korporat mendirikan “Rumah Arau” berdekatan sekolah. Rumah Arau tempat ibu-ibu dan murid pra-sekolah tinggal bersama.

“Hujung minggu mereka balik rumah panjang untuk bertemu suami dan ambil barang bekalan memasak seperti beras. Tetapi berapa banyak Rumah Arau dibangunkan?” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Laporan baharu Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan Malaysia.

Walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK) namun pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan.

Laporan itu menyerlahkan ketidakcekapan yang membimbangkan dengan pelajar Malaysia menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit