‘Kami Harap Peguam Negara Kekal, Tidak Berganjak Teruskan Pendakwaan Terhadap KK Super Mart’ – Akmal

KUALA LUMPUR, 30 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berharap Peguam Negara untuk kekal dan tidak berganjak daripada keputusannya untuk meneruskan pendakwaan terhadap KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd.

Katanya, ini bagi memelihara sensitiviti masyarakat umum khasnya kepada masyarakat Islam yang telah terkesan akibat insiden dan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.

“Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberikan Peguam Negara kuasa budi bicara samada untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding kes jenayah di Mahkamah.

“Mengemukakan surat representasi pula adalah salah satu kaedah biasa yang digunakan oleh Tertuduh yang berhadapan dengan pertuduhan di Mahkamah untuk meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula pertuduhan yang dikenakan.

“Tetapi bagi kes ini, Peguam Negara telah melakukan satu keputusan yang tepat selepas memberikan pertimbangan yang sewajarnya untuk menuduh mereka. Kes ini adalah satu kes berkepentingan awam yang serius dan tidak sewajarnya dipandang remeh,” katanya.

Terdahulu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri yang juga Pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui merancang untuk mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas pertuduhan mereka yang dikaitkan dengan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Mahkamah menetapkan 10 Jun ini untuk pengurusan kes dan status representasi. Kee Kan dan Siew Mui didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Turut dituduh tiga individu lain yang juga pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd, yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.