Cantum Logo UMNO Macam Budak-budak, Penghinaan Sangat Keterlaluan Dan Kurang Ajar – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 30 April – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia meluahkan kekesalan dengan sikap pembangkang yang tidak matang pada proses penamaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata tindakan mereka mempamerkan sebuah replika yang mencantumkan logo UMNO dengan Dap disifatkan sebagai ekstrimis.

Menurut beliau ini kerana logo UMNO adalah simbolik kepada perjuangan orang Melayu dalam membawa kemerdekaan kepada tanah air ini, sementelah parti ini yang lahir di Istana Johor.

“UMNO bukan lahir di tepi jalanan, UMNO lahir di Istana Besar Johor pada 1946.

“Bukan juga lahir daripada sikap kebencian dan pengkhianatan seperti parti lain. Tindakan penghinaan jahat seperti ini sangat keterlaluan dan kurang ajar

“Logo UMNO punya maksud tersendiri, gabungan daripada huruf jawi yang mewakili setiap huruf pertama dalam nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu,” katanya.

Terdahulu, tindakan itu juga turut sama mendapat respon daripada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menyifatkan tindakan berkempen dengan cara menghina pihak lawan bukan pendekatan politik matang sebaliknya mencemarkan imej agama Islam di mata orang lain.

Pada Sabtu, tular sebuah gambar di media sosial memperlihatkan penyokong PN mengangkat sebuah replika yang mencantum logo UMNO-DAP ketika penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.