909 Generasi Baharu Felda Berpeluang Miliki Rumah Pada 2024 – Jalaluddin

SEREMBAN, 30 April – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata 909 generasi baharu Felda di negeri berkenaan berpeluang untuk memiliki rumah pada tahun ini yang merangkumi beberapa kawasan terlibat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan seterusnya menambah kebajikan dan keperluan para peneroka Felda menjadi keutamaan kerajaan negeri melalui pelan inisiatif Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan.

“Antara perkara terpenting yang sedang kerajaan negeri laksanakan adalah penyelesaian isu Perumahan Generasi Baharu Felda atau PGBF.

“Rentetan daripada itu, hasil perbincangan dan laporan status terkini pelaksanaan PGBF di Negeri Sembilan, saya ingin memaklumkan bahawa sebanyak 909 unit rumah bakal disediakan bagi generasi baharu Felda untuk tahun 2024 ini,” katanya.

Kata beliau lagi pembinaan berkenaan termasuklah di Felda Pasoh Dua, Bukit Rokan Utara dan Palong Lapan.

“Ia merangkumi 70 unit PGBF di Pasoh dua, 239 unit di Bukit Jalor, 300 unit di Bukit Rokan Utara dan 300 unit di Palong lapan. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, saya akan terus memantau dan memastikan isu-isu melibatkan Felda ini terus diperkemaskan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.