UMNO Dalam Kerajaan Perpaduan Bukan Isi Kelompongan, Pertahan Prinsip Perjuangan – Rais Yasin

TANGGA BATU, 29 April – Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin menegaskan bahawa keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sekarang bukan sekadar mengisi kekosongan dan memenuhi kelompongan.

Jelas beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, UMNO menjunjung titah Baginda Yang di-Pertuan Agong yang inginkan parti ini memainkan peranan penting dalam pembentukan kestabilan politik dan mengukuhkan perpaduan kaum serta agama di negara ini.

“Amanah terbesar yang digalas oleh UMNO dalam kerajaan masa kini adalah menjaga kepentingan dan mempertahankan kedaulatan Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-raja Melayu dalam apa jua sekalipun.

“Atas sebab itulah kita dapat melihat kelantangan UMNO terus menjadi jurubicara rakyat dan tidak sesekali berkompromi dalam hal-hal mengganggu gugat kepentingan dan hak-hak Melayu Islam pada era pentadbiran Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Tangga Batu yang berlangsung semalam. Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ujar Rais, rakyat juga dapat menilai betapa besar peranan yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam mewujudkan ‘check and balance’ bagi polisi dan dasar khususnya melibatkan hak-hak Melayu Bumiputera dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dalam meniti badai politik ditambah pula dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang memusushi UMNO maka setiap akar umbi bersama kepimpinan parti wajiblah memainkan peranan masing-masing.

“Apa utama yang perlu dititikberatkan adalah kesatuan hati dan fikrah sesama ahli UMNO. Kita seharusnya menjulang tinggi titah di-Raja agar bertindak menjadi tulang belakang yang menyatupadukan kaum dan gama di negara ini.

“Sebagai parti politik paling berpengalaman dalam mentadbir negara, UMNO mestilah menunjukkan contoh dan akhlak berpolitik yang baik dan matang agar sentiasa diteladani dan dicontohi. Peluang UMNO dalam Kerajaan Perpaduan haruslah dimanfaatkan sebaiknya untuk melakukan perubahan supaya dapat menarik kembali keyakinan rakyat. Jika ada yang terus bermain politik dan bersengketa sesama ahli maka padah yang akan menanti,” katanya lagi.

Terdahulu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan persidangan Cawangan bermula pada 22 April hingga 2 Jun di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Ini akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.