Tourism Johor Akan Dikorporatkan Tahun Ini – Onn Hafiz

KOTA TINGGI, 29 April – Kerajaan negeri akan mengkorporatkan Tourism Johor pada tahun ini dalam usaha untuk memperkasakan agensi berkenaan, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata proses ke arah itu akan dilakukan dalam masa enam bulan sebelum ia dijangka dapat dikorporatkan pada akhir tahun ini.

“Dengan ini, kita akan berpeluang untuk mengambil pekerja yang mempunyai latar belakang pelancongan yang kukuh supaya mereka boleh membantu meningkatkan pemasaran dan produk-produk pelancongan.

“ … ia penting kerana Tourism Johor ialah agensi yang menerajui usaha-usaha pelancongan di Johor, (malah) pengkorporatan bukan suatu perkara baharu kerana negeri lain seperti Pulau Pinang dan Selangor telah melaksanakan inisiatif terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor di sini hari ini.

KOTA TINGGI, 29 April — Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama penggiat industri pelancongan pada Majlis Penutup Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri K Raven Kumar dan Pengarah Tourism Johor Sharil Nizam Abdul Rahim.

Onn Hafiz pada masa sama berkata langkah bagi mengkorporatkan agensi berkenaan sebelum ini turut dibangkitkan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

“Perkara ini dibangkitkan sendiri oleh Pemangku Sultan Johor yang bertanyakan kepada saya, bila kita hendak korporatkan Tourism Johor, insya-Allah kita akan lakukan tahun ini supaya kualiti agensi ini dapat ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Sharil Nizam berkata langkah bagi mengkorporatkan Tourism Johor akan membantu memperbesar skop pengurusan agensi terbabit.

“Pengkorporatan untuk Tourism Johor sebenarnya amat baik dan kita sendiri dari segi cara untuk bekerja dan pelaksanaan pengurusan akan menjadi lebih besar dan baik. Selain itu, kita juga akan mudah untuk berkolaborasi dengan pihak-pihak swasta, luar negeri dan negara,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz berkata bengkel pemerkasaan yang dilaksanakan hari ini memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mengadakan libat urus bersama pemain industri pelancongan bersempena dengan persediaan Tahun Melawat Johor 2026. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.