PRK KKB: Yakin Anak Muda Mampu Kekalkan Calon Kerajaan Perpaduan

KUALA KUBU BHARU, 29 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor, Omar Al Khattab Kasim berkata calon Kerajaan Perpaduan daripada Dap, Pang Sock Tao diyakini mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei nanti.

Menurutnya, golongan belia mampu membawa perubahan yang progresif bagi meraih kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kita mahu suara anak muda yang progresif dan mampu memberi kemenangan dalam PRK kali ini. Calon muda yang diketengahkan oleh Kerajaan Perpaduan ini akan memperoleh kemenangan pada hari pengundian nanti.

“Calon Kerajaan Perpaduan ini diminati oleh anak-anak muda yang berada di dalam DUN Kuala Kubu Bharu dan kita boleh lihat perbezaan umur calon ini dengan calon-calon yang lain. Sudah tentunya beliau adalah calon orang muda yang berumur 31 tahun dan berbeza dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) yang berumur 54 tahun,” katanya kepada UMNO Online.

Omar yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor akan memastikan jentera Pemuda UMNO/BN memberikan kerjasama utuh dan dapat mengekalkan kerusi ini.

“Jentera Pergerakan Pemuda UMNO/BN terus beri kerjasama serta memastikan pengundi-pengundi muda dan ‘first voters’ terus memilih calon Kerajaan Perpaduan.

“Kita mahu setiap jentera Pemuda UMNO/BN berkerja dengan penuh semangat dan keikhlasan bagi memenangi pilihan raya ini serta terus berusaha gigih mencapai kejayaan.

“Kita perlu berusaha merancang sebaik mungkin cara dan kaedah untuk mendekati serta memastikan mereka terus beri kemenangan pada PRK ini,” katanya lagi.

Calon Kerajaan Perpaduan dari Dap, Pang Sock Tao akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin calon Bebas.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pagi ini sehingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.