Noraini Ahmad Ziarah Keluarga Mangsa Nahas Helikopter TLDM

KUALA LUMPUR, 29 April – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkesempatan menziarahi waris mangsa kemalangan nahas helikopter berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia dan rombongan ke Sitiawan, bagi menziarahi keluarga Allahyarham PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, kemudiannya keluarga Mendiang Lt. Sivasutan a/l Thanjapan dan Allahyarhamah PW II TNL Nurfarahimi Mohd Suady.

Kedua-dua helikopter berkenaan sedang menjalani latihan raptai sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 5 Mei ini.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada kata yang dapat diucapkan buat waris dan keluarga mangsa yang masih berada di dalam kesedihan.

“Sebak hati apabila bertemu dengan anak-anak yang kehilangan bonda dan ayahanda tercinta. Hanya dapat saya zahirkan perasaan sedih dan simpati serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu Noraini turuy memaklumkan KPWKM melalui Yayasan Kebajikan Negara, menyalurkan RM3,000.00 di bawah Skim Pemberian Ehsan, Kit Kanak-Kanak & Kit Bakul Makanan (PEKA) kepada keluarga waris.Noraini juga telah menyerahkan bantuan peribadi Tunku Afzan Sultan Abdullah kepada semua waris yang terlibat.

Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberikan sokongan psikologi beserta RM300 Tabung Bantuan Segera kepada keluarga mangsa. Turut bersama dalam lawatan hari ini ialah , Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed; Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Salina Samsudin,

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron; Pengarah Bahagian Psikologi dan Kaunseling JKM, Siti Fatimah Ismail; Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif JKM, Liah Pariuk dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri Perak, Fairus Bahari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.