Mesyuarat Cawangan UMNO: Inilah Masanya Kita Jelaskan Ke Peringkat Akar Umbi – Jalaluddin

JELEBU, 29 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat keberadaan parti itu bersama Kerajaan Perpaduan hari ini boleh dijelaskan sebaiknya menerusi pelbagai medium dan persidangan UMNO peringkat cawangan yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Bagi beliau fasa pertama itu boleh dilaksanakan sebaik mungkin menerusi penerangan yang sejelasnya kepada akar umbi iaitu bagaimana langkah parti mengambil keputusan berkenaan.

“Ahli UMNO ada yang tidak mempunyai pengetahuan dan tafsiran yang betul dalam soal Kerajaan Perpaduan, serta kadangkala mempunyai maklumat yang tidak tepat…maka pelbagai perkara akan berlaku dan ini tentunya akan melemahkan parti.

“Jadi apabila masing-masing tidak mendapat maklumat dan juga tafsiran yang sebenar, maka parti akan lemah dan oleh itu apabila adanya persidangan peringkat cawangan sekarang, ianya mestilah digunakan sebaiknya oleh pemimpin akar umbi untuk memberikan penjelasan.

“Penjelasan itu amat penting antaranya perlu diterangkan bahawa gabungan ataupun Kerajaan Perpaduan ini adalah sebahagian daripada usaha… kalau diurus dengan betul untuk memperkukuhkan parti bagi tempoh-tempoh tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jelebu 2024, di Bangunan UMNO Jelebu, Simpang Pertang, Ahad petang.

Jalaluddin yang juga Ketua UMNO bahagian Jelebu seterusnya berkata penjelasan peringkat cawangan hari ini boleh dianggap sebagai fasa pertama sebelum langkah seterusnya dalam usaha memperkukuhkan lagi UMNO.

“Itu yang penting dan perlu dilakukan kerana ahli UMNO sekarang mengalami pelbagai cabaran serta dugaan dan kita pun dah lalu banyak cabaran serta dugaan sebelum ini, maka kita harus urus perkara berkenaan dalam keadaan yang betul.

“Kita di Jelebu… saya sudah tugaskan timbalan, naib dan semua ketua-ketua sayap termasuk rakan-rakan di peringkat kepimpinan tertinggi dan sebagainya untuk turun ke setiap cawangan dalam mesyuarat agung cawangan-cawangan ini bagi memberikan penjelasan kepada semua ahli-ahli di peringkat akar umbi.

“Tahun ini kita boleh katakan fasa pertama untuk memberikan penjelasan dan kita tidak ada banyak masa. Sampai kepada satu tempoh tertentu, maka kita harus fokus kepada usaha mempertukuhkan parti di dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.