Malaysia-Pakistan Perkukuh Hubungan Dua Hala, Kerjasama Sedia Ada Dan Bidang Berpotensi
KUALA LUMPUR, 29 April – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Pakistan, Ishaq Dar dalam rangka kerja sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Khas Sedunia (WEF) yang akan berakhir hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, menerusi satu hantaran Facebook berkata pertemuan empat mata tersebut bagi perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara.
“Dalam perbincangan, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat agar Malaysia dan Pakistan mengukuhkan lagi hubungan dua hala melalui kerjasama sedia ada dan meneroka bidang kerjasama lain yang berpotensi.
“Saya juga sempat mengucapkan tahniah kepada Ishaq Dar di atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Pakistan berkuat kuasa semalam,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Terdahulu Mohamad menerusi satu hantaran berbeza turut sama berkongsi pertemuaan beliau bersama Presiden Palestine, Mahmoud Abas.
Beliau berkata, Mahmoud mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestine.
Dalam pada itu Mohamad juga turut memaklumkan pertemuan dengan rakan sejawat dari Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud di antara waktu terluang ketika berlangsungnya WEF tersebut.
Pertemuan tersebut antara lain adalah bagi menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Juga komitmen meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama termasuk perdagangan, pelaburan strategik, hal ehwal haji dan umrah, transformasi digital, keterjaminan makanan, dan tenaga diperbaharui.
“Saya dan Putera Faisal turut mengalu-alukan penganjuran Majlis Penyelarasan Malaysia-Arab Saudi (SMCC) yang dijangka bermesyuarat buat pertama kalinya pada separuh tahun kedua 2024. Kami sepakat mengutuk kekejaman terhadap rakyat palestine dan menggesa gencatan senjata dan bantuan kemanusian segara tanpa sekatan dapat dihantar ke Gaza.
“Kami juga menggesa semua pihak agar menghentikan sebarang bentuk tindakan keganasan yang pastinya akan memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau Timur Tengah,” katanya.
Terdahulu, Mohamad tiba di Riyadh pada Sabtu bagi mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rangka kerja sempena WEF, turut serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. – UMNO Online