Mesyuarat Cawangan UMNO Bukti Komitmen, Kesetiaan Akar Umbi

PUTRAJAYA, 28 April – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim melahirkan rasa syukur dan syabas kepada cawangan-cawangan UMNO yang telah melaksanakan persidangan tahunan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Parti.

Katanya, persidangan peringkat akar umbi ini amat penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan UMNO khususnya bagi mengembalikan kekuatan dan kegemilangan sebagaimana sebelum ini.

“Kebersamaan dalam usaha melaksanakan mesyuarat ini adalah satu bukti tanda komitmen dan kesetiaan terhadap parti keramat UMNO. Ini adalah manifestasi mantapnya organisasi UMNO, berstruktur dan mempunyai Perlembagaan yang dipatuhi oleh ahli-ahlinya iaitu bermula mesyuarat Cawangan yang berbincang bagi dibawa ke bahagian dan kelak diangkat ke Perhimpunan Agung UMNO.

“Mesyuarat ini bermula di akar umbi iaitu di peringkat cawangan-cawangan yang meliputi keseluruhan ahli termasuklah Wanita UMNO dan pergerakan sayap Pemuda serta Puteri UMNO.

“Tanggungjawab ini dibuat berpaksikan kepada apa yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan parti bagi menyemarakkan matlamat agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Terdahulu beliau telah hadir merasmikan Mesyuarat Tahunan UMNO Cawangan Bunga Meranti yang berlangsung Jumaat, malam di sini.

Jelasnya, kesemua sayap cawangan juga telah berjaya mengadakan mesyuarat sebagaimana digariskan parti.

“Terima kasih buat semua ahli yang telah hadir memberikan komitmen dalam tekad untuk mengembalikan kekuatan UMNO. Apa yang pasti kehadiran ramai anak muda dalam mesyuarat Cawangan UMNO ini adalah petanda yang amat positif bagi meneruskan legasi kepimpinan melibatkan semua peringkat. Inilah sokongan yang amat bermakna dan kesannya amat besar untuk masa hadapan.”

Turut hadir bersama dalam mesyuarat tersebut adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Senator Datuk Hisamudin Yahaya; Ketua Wanita Bahagian, Husna Abdul Rahman; Ketua Puteri Bahagian, Salwa Shokri; Naib Ketua Pemuda Mohd Zuazwarey Zulkifli serta barisan anggota parti cawangan terbabit.

Dilaporkan, persidangan Cawangan UMNO telah bermula pada 22 April hingga 2 Jun di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Ini akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.