Haphiz Yakin UMNO Kembali Bangkit, Jadi Pilihan Rakyat

DUNGUN, 28 April – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu yakin kepimpinan UMNO hari ini mampu membawa parti itu bangkit kembali.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata parti ini akan kembali menjadi pilihan rakyat berdasarkan komitmen dan semangat yang ditunjukkan akar umbi dan kepimpinan parti.

Jelasnya, biarpun terdapat pihak luar yang melemparkan tohmahan, membuat tuduhan, menabur fitnah dan cuba memecahkan perpaduan parti namun ia semakin kuat dan kukuh.

“Saya yakin dengan keadaan UMNO yang sentiasa difitnah, dicaci maki, dicerca oleh kelompok-kelompok yang tidak faham dan musuh-musuh politik yang mahu melihat negara ini tidak stabil seperti tahun 2018 sehingga 2021 tapi parti ini menjadi semakin kuat, perkasa dan teguh malah ia akan menjadi pilihan utama rakyat seperti dulu.

“Insya Allah… apa sahaja halangan, dugaan pada UMNO, kita akan terus berkhidmat untuk rakyat dan yang pasti di peringkat Pemuda UMNO Negeri Terengganu tidak akan putus asa dan faham diperingkat kerajaan negeri Terengganu banyak terdapat isu yang membelenggu rakyat terutamanya tentang sara hidup dan poket rakyat.

“Perkara-perkara ini perlu ada pembelaan dan sudah tentu pembelaan ini datangnya dari UMNO dan sememangnya tunjang parti adalah orang Melayu/Islam sebagai asas yang tidak boleh ditolokbandingkan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, yakin UMNO dapat menangani segala fitnah, pancaroba yang dihadapinya serta mengembalikan parti ini sebagai kuasa mentadbir.

“Saya optimis dan yakin bahawa anak-anak muda akan terbuka mata, jiwa mereka untuk mengembalikan UMNO sebagai kuasa penuh untuk mentadbir kerajaan akan datang. Insya Allah dalam waktu ke depan parti ini dapat menangani fitnah, segala pancaroba yang dihadapi,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Haphiz turut menasihati pada anak-anak muda agar jangan mudah terpengaruh dan memutarbelitkan fakta-fakta didalam media sosial.

“Suasana sekarang ini maklumat di hujung jari dan dalam masa yang sama juga ada maklumat-maklumat yang kadang-kadang ia tidak benar tapi diputarbelitkan seolah-olah menjadi fakta yang telus.

“Jangan saja berpandukan pada media sosial untuk rujukan terutamanya dalam meneruskan kehidupan dan mencari peluang-peluang ekonomi dan terus berikan sokongan pada pucuk pimpinan negara.

“Sekiranya yang betul kita sokong dan yang tidak betul, kita tegurkan. Insya Allah dapat bentuk satu kerangka politik betul-betul matang dan beri kesan baik pada negara,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.