PRK Kuala Kubu Bharu: Ahmad Zahid Dan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Iringi Calon

KUALA KUBU BAHRU, 27 April – Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bahru hari ini.

Ahmad Zahid yang berbaju korporat BN bersama rombongan penyokong Kerajaan Perpaduan berarak bersama calon ke pusat penamaan di Dewan Serbaguna Dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada jam 8.30 pagi.

Turut mengiringi calon, Setiasusaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Tertinggal UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin serta pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Sepanjang perarakan, penyokong Kerajaan Perpaduan itu turut mengibarkan bendera parti-parti dalam gabungan itu selain melaungkan slogan ‘Undi Perpaduan” dan ‘Kekal Kuala Kubu’.

Suasana di pekarangan pusat penamaan calon juga hangat dan meriah dengan sorakan penyokong daripada setiap parti politik selain membawa sepanduk dan bendera sebagai simbolik solidariti bersama calon.

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi dan calon-calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Bagi menjamin kelancaran serta keselamatan, sebanyak 642 anggota dan pegawai Polis Selangor ditugaskan bagi memastikan kelancaran sepanjang proses PRK Kuala Kubu Bahru.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kekosongan kerusi setelah kematian penyandangnya, mendiang Lee Lee Hiong dari Dap yang meninggal dunia pada 21 Mac lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Lee Kee Hiong berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon pada 27 April (Sabtu) dan hari pengundian pada 11 Mei 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.