Azalina Zahir Hasrat Wujudkan Hospital Di Pengerang, Mudahkan Penduduk Setempat

PENGERANG, 27 April – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menzahirkan hasrat untuk pembinaan sebuah hospital kerajaan yang baru di kawasan ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata ia sekali gus dapat mengatasi masalah jarak yang terlalu jauh untuk penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Sebab hospital paling dekat ialah di Kota Tinggi masalahnya 50 kilometer dari sini dan disebabkan adanya isu lebuh raya, kadang-kadang jadinya kemalangan… kerana kalau kita tengok sejak kebelakangan ini banyak laporan kematian, terutama sekali dalam highway Desaru-Senai.

“Kerajaan memang ada perancangan nak membesarkan seperti dimaklumkan tetapi kita tak boleh menafikan bahawa keperluan untuk adanya hospital kerajaan.

“Hospital swasta pun tak ada, tapi klinik swasta banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada penganjuran Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Parlimen Pengerang di Dataran Tasik Bandar Penawar, malam tadi.

Azalina berkata pembinaan hospital tersebut adalah keperluan kerana kedudukan Pengerang sebagai hub industri minyak dan pelancongan terkenal.

Menurut beliau, hasrat tersebut juga telah disuarakan kepada Perdana Menteri dan perbincangan lanjut juga akan dilakukan.

“Saya dah jadi ahli Parlimen dari 2004 harap membawa kejayaan dan lebih banyak pembangunan tapi kita tak boleh nafi bahawa kawasan Parlimen saya ini terbagi antara industri minyak dengan gas, adanya Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Dialog Group Bhd, industri pelancongan iaitu Desaru Coast.

“Jadi tiga industri yang terkenal di peringkat antarabangsa sebab itu saya nyatakan hasrat tersebut kepada Perdana Menteri perlunya satu hospital kerajaan di sini.

“Kalau hospital jauh nanti dia pun mungkin was-was nak guna tempat ini untuk pelancongan. Takut ada apa-apa keselamatan ke kecemasan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.