Tiada Kasino Dibuka Di Johor, Khabar Angin Berunsur Sabotaj Dan Berniat Jahat – MB

ISKANDAR PUTERI, 26 April – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi tegas mengatakan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini sebagaimana tular berita kononnya kasino bakal dibuka di Forest City, Johor Bahru.

Kata Onn Hafiz, khabar angin yang tular itu dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya.

“Untuk makluman, Kerajaan Negeri Johor juga tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincangan berhubung perkara ini, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya.

“Kerajaan Negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara yang sama,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ulas Onn Hafiz, seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri Johor yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baru dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Semua sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor,” katanya.

Tambahnya, sejarah jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa Baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor.

“Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” tegasnya sekali lagi.

Justeru katanya, dengan penegasan ini, Kerajaan Negeri berharap isu ini tidak lagi dipanjangkan dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.