Rumah Terbuka Pengerang Meriah, Pengunjung Teruja Sajian Juadah Syawal

PENGERANG, 26 April – Dataran Tasik Bandar Penawar hari ini dibanjiri orang ramai yang menghadiri Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Parlimen Pengerang.

Pada awal pembukaan majlis Ahli Parlimen Pengerang yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai tuan rumah berbesar hati menemui orang ramai dan berkunjung ke gerai-gerai yang menjamukan juadah tradisional bagi meraikan Syawal.

Antara hidangan tersebut adalah lemang, rendang, kuah kacang, sate, kuih-muih, laksa johor, ayam panggang dan lain-lain.

Sementara itu rata-rata pengunjung yang ditemui meluahkan keterujaan mereka dengan penganjuran rumah terbuka seperti ini kerana mereka dapat bertemu dengan kepimpinan setempat.

Dalam pada itu Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) turut sama memberikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Berdasarkan tinjauan orang ramai mula membanjiri lokasi bermula 7.30 petang pagi walaupun program dijadual bermula pada 8 malam.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri dan ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin.

Setakat jam 10 malam tadi, dianggarkan lebih 5,000 pengunjung hadir untuk menikmati jamuan disediakan di khemah tetamu selain untuk beramah mesra dengan kepimpinan.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.