Malaysia, China Sekata Mengenai Isu Konflik Di Gaza

KUALA LUMPUR, 26 April – Malaysia dan China sekata mengenai isu konflik di Gaza serta beranggapan bahawa segala usaha perlu dilakukan segera agar gencatan senjata seterusnya bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada rakyat Palestin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Negeri Republik China pada Jumaat.

“Pertemuan bersama rakan sejawat TYT Wang Yi, Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China (RRC) bertempat di Diaoyutai State Guesthouse, Beijing. Tahun ini, Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Turut diraikan tahun ke-11 sejak penaiktarafan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership),” katanya.

Menurutnya, pertemuan tersebut turut membincangkan mengenai isu keamanan dan keselamatan serantau di samping persiapan Malaysia mengambil peranan sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Berbincang untuk mempertingkatkan hubungan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan dan pemindahan teknologi tinggi.

“Juga membincangkan isu keamanan dan keselamatan serantau serta persiapan Malaysia mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Kami sekata mengenai keadaan yang meruncing di Gaza dan bersetuju segala usaha mesti segera dilakukan melalui rundingan mahupun desakan antarabangsa, untuk gencatan senjata dan bantuan kemanusian dapat hantar segera tanpa sekatan, kepada rakyat Palestin,” katanya.

Untuk rekod, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 23 hingga 25 April, yang pertama sejak beliau memegang jawatan itu pada Disember 2023.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk lima belas tahun berturut-turut. Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.