Jemput Profesor Pro-Zionis: Pihak Universiti Wajib Beri Penjelasan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 26 April – Pihak Universiti Malaya(UM) wajib memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia di atas tindakan mereka menjemput Profesor Pro-Zionis, Bruce Gilley untuk memberikan syarahan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, insiden tersebut amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Insiden di Universiti Malaya yang menjemput Profesor Pro-Zionis, Bruce Gilley adalah amat memalukan dan tidak sepatut berlaku.

“Pihak universiti wajib memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa begitu culas sehingga individu seperti ini terlepas dan dibenarkan memberi syarahan. Sepatutnya UM harus lebih teliti mengenal pasti latar belakang individu yang dijemput.

“Insiden ini telah mencemarkan nama baik Universiti Malaya sebagai gedung ilmu tersohor tanah air dan mencalarkan imej Malaysia dalam posisi negara terhadap Israel serta pembelaan Palestin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, Wisma Putra wajar menggesa kedutaan Amerika Syarikat (AS) untuk tampil memberi penjelasan dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas ciapan Profesor warganegaranya di platform X.

“Satu penjelasan yang tuntas harus diberikan oleh pihak UM kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya juga menggesa supaya individu ini diharamkan dari masuk ke Malaysia.

“Wisma Putra wajar menggesa kedutaan Amerika Syarikat tampil memberi penjelasan dan memohon maaf kepada rakyat serta Kerajaan Malaysia di atas ciapan Profesor yang berwarganegara AS di platform X.

“Ianya ciapan seperti ‘Malaysia not safe for travel now’ dan ‘A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs and will certainly never be a friend or partner of the US’.

“Malaysia harus memberi mesej dan pengajaran yang tegas dengan mengharamkan individu ini dari memasuki Malaysia di masa hadapan supaya kita tidak mudah dipermainkan dan diperkotak-katikkan,” katanya lagi.

Pada 16 April, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik UM mengumumkan program Visiting Professor Program 2024 (Program Profesor Pelawat 2024) dan Bruce dijemput untuk menyampaikan syarahan selama mengendalikan bengkel selama tiga hari dari 22 sehingga 24 April lalu.

Pada hari kedua (23 April), ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Will Malaysia Become an Active Middle Power?’, Bruce mengeluarkan kenyataan berbunyi ‘A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States’.

Kenyataan itu kemudian dikongsikan semula menerusi ciapan di laman X milik peribadinya yang menarik perhatian masyarakat Malaysia terutamanya mahasiswa UM.

Susulan itu, Institut Pengajian Cina UM membatalkan seminar yang sepatutnya berlangsung pada hari berikutnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.