Setia Dalam Perjuangan, Musliati Seru Anggota UMNO Berpadu Perkukuh Parti

KOTA KINABALU, 25 April – Ruang dan peluang dalam mesyuarat Cawangan UMNO yang berlangsung bermula 22 April hingga 2 Jun depan adalah masa terbaik bagi membuktikan kesepaduan UMNO.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin kejayaan melaksanakan persidangan di peringkat akar umbi ini adalah bukti kesetiaan dalam perjuangan.

“UMNO mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dan ia adalah legasi yang mesti diteruskan lantaran kelangsungan dalam sebuah organisasi dengan teras bersatu, bersetia dan berkhidmat,” katanya.

Ujar beliau kepada UMNO-Online, tempoh pelaksanaan mesyuarat peringkat cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini adalah bukti kewujudan UMNO yang tiada galang ganti dengan anggotanya terus setia dan aktif menyemarakkan perjuangan.

“Kita akui bahawa UMNO telah diasak dengan pelbagai cabaran, ada parti lain yang kononnya nak gantikan UMNO, burukkan UMNO dan kepimpinannya namun apa yang pasti sehingga hari ini UMNO masih ada dan ahli-ahlinya meneruskan gerak kerja dan khidmat bakti tanpa henti.

“Mesyuarat cawangan ini juga adalah manifestasi bahawa UMNO adalah parti yang berstruktur, di sokong oleh rakyat yang menjadi ahli-ahli akar umbi, berbincang dan menzahirkan idea untuk dibawa keperingkat bahagian lantas ke perhimpunan Agung kelak.”

Untuk itu, Musliati yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia berharap agar persidangan di peringkat cawangan ini diaplikasi sebaiknya.

“Maka sebaiknya, kita pergunakanlah ia untuk berpadu memperkukuh parti bagi meraih kembali sokongan masyarakat lantas membela masa depan agama, bangsa dan negara.”

“Selamat bersidang kepada seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO, salam perjuangan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.