PRK Kuala Kubu Bharu: Calon Kerajaan Perpaduan Tepat Dan Berkebolehan – Megat Zulkarnain

HULU SELANGOR, 25 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin melihat calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao amat bertepatan serta berkebolehan untuk mengisi kekosongan wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Bagi beliau dengan pengalaman yang ada dan seorang anak muda yang ditonjolkan, Pang mampu menggalas amanah jika diberikan kepercayaan pada 11 Mei nanti.

“Ini adalah calon Kerajaan Perpaduan yang saya fikir amat berketepatan, seorang anak muda, berumur 31 tahun, berpendidikan tinggi, dan ada pengalaman yang luas dalam bidang politik, telah berkhidmat di dua kementerian yang berbeza.

“Jadi pastinya pengalaman yang beliau ada apatah lagi seorang anak muda, saya percaya Pang boleh membuat yang terbaik bagi rakyat yang berada dalam DUN Kuala Kubu Bharu. Dalam keadaan kita faham dan sensitif berkenaan dengan suara generasi muda, mereka inginkan kumpulan atau calon itu semestinya daripada kalangan mereka agar mudah untuk didekati.

“Saya percaya beliau boleh memberikan perkhidmatan  yang baik. Jadi insya-Allah kami, saya selaku Pengerusi BN Negeri Selangor kita telah mengadakan mesyuarat beberapa kali dalam Kerajaan Perpaduan dan kita akan memberikan komitmen yang penuh untuk memastikan calon Kerajaan Perpaduan ini menang pada 11 Mei nanti, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas Majlis Pengumuman Calon Kerajaan Perpaduan, di sini, Rabu malam.

Pang yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, diumumkan sebagai calon yang akan mewakili parti Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei depan.

Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke mengumumkan perkara berkenaan pada Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Bharu di hadapan pendukung serta penyokong parti yang memenuhi perkarangan Pusat Khidmat ADUN Kuala Kubu Bharu.

Megat Zulkarnain yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor seterusnya menambah pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan calon Kerajaan Perpaduan mencapai kemenangan kelak.

“Kita telah memutuskan untuk menggerakkan semua bahagian-bahagian dalam Selangor untuk menjaga dan memberikan tumpuan di lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mana majoritinya adalah pengundi Melayu dan kita akan berkampung di situ.

“…dan akan menyantuni setiap pengundi terutama pengundi UMNO terlebih dahulu yang berjumlah hampir 4,500 ahli yang berada dalam DUN Kuala Kubu Bharu.

“Jadi itu merupakan fokus utama kita terlebih dahulu agar ahli-ahli UMNO ini dapat kita jelaskan mengapa calon Kerajaan Perpaduan ini mesti kita menangkan pada 11  Mei nanti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.