PRK Kuala Kubu Baharu: Wanita UMNO Malaysia Siap Siaga Bantu Calon Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 25 April – Wanita UMNO Malaysia bersiap siaga membantu calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Susulan itu pelbagai perbincangan dilakukan bagi merangka strategi terbaik sebagai persiapan menghadapi hari pengundian pada 11 Mei depan.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di Facebooknya berkongsi pertemuannya bersama kepimpinan Wanita dan akar umbi Wanita UMNO Bahagian.

“Saya dan Biro Politik Wanita UMNO Malaysia mengadakan perjumpaan bersama Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor, Ketua Gugusan, Ketua PR10 dan Ketua-ketua Wanita UMNO Cawangan di dalam DUN Kuala Kubu Bharu bertempat di Pejabat UMNO Bahagian Hulu Selangor, Selangor.

“Intipati perbincangan tertumpu kepada gerak kerja JR Wanita UMNO di Pusat Daerah Mengundi,” katanya.

Turut bersama Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Halimaton Saadiah Borhan dan Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datin Maizatul Akmam Alawi.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan diadakan susulan kekosongan kerusi bagi DUN Kuala Kubu Bharu, Selangor setelah kematian penyandangnya, mendiang Lee Lee Hiong yang meninggal dunia pada 21 Mac lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon pada 27 April (Sabtu) ini dan hari pengundian pada 11 Mei 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.