Pemimpin PN Setahun Jadi MB Apa Pun Tak Buat, Tapi Timbul Isu Integriti Libatkan Keluarga – Pemuda Perlis

KUALA LUMPUR, 25 April – ‘Macam mana mereka nak tadbir negeri dan negara dengan baik kalau dalam masa setahun mereka tadbir negeri pun timbul isu integriti dan pecah amanah terutama sekali melibatkan ahli keluarga Menteri Besar Perlis sendiri.

Demikian bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis, Saiful Fariddil Jasmi terhadap Menteri Besar Perlis yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd Shukri Ramli yang mengatakan PN Perlis sedia menjadi galang ganti UMNO bagi mentadbir negeri dan negara.

Saiful berkata penangkapan anak menteri besar seperti dilaporkan media suatu yang mendukacitakan apatah lagi PN baharu saja mentadbir negeri ini selama setahun.

“Saya sama tidak bersetuju dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Menteri Besar Perlis itu. Setahun dia tadbir negeri, apa pun tak buat… berlakon macam bagus padahal setahun jadi menteri besar, apa pun tak buat.

“Ini dikuatkan lagi dengan pada hari ini telah keluar satu berita penahanan anak Menteri Besar Perlis oleh SPRM berkaitan tuduhan palsu sebanyak RM600,000 semenjak mereka mentadbir negeri,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kangar berkata, selama ini mereka seringkali membawa naratif memburukkan UMNO dengan menuduh UMNO sebagai parti yang rasuah dan penyakau, namun kini sebaliknya perkara tersebut dilakukan oleh mereka.

“Kata UMNO penyakau, parti rasuah apa semua. Sekarang ini tengok siapa yang rasuah, siapa yang penyakau? Anak dia sendiri yang penyakau. Sekarang ini bagi saya sudah jelas terbukti bahawa PN Perlis adalah bapa kepada segala penyakau.

“Pada saya pengundi-pengundi pada PRU yang lepas terutamanya anak muda telah membuat kesilapan dengan memilih PN sebagai parti untuk mentadbir negeri. Saya ingat PN tadbir lagi dua tahun tiga tahun negeri pun boleh tergadai.

“Imej Islam yang dia pun bawa saya rasa untuk mengamburi mata rakyat. Kononnya dia pun lah terpaling Islam,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu turut menempelak Mohd Shukri yang mengumpamakan UMNO seperti sabun cap kapak yang dahulunya popular, sebaliknya kata Saiful UMNO tetap menjadi rujukan dan pilihan rakyat dalam isu-isu membabitkan kemasyarakatan mahupun bantuan dan bencana alam.

“Saya tidak bersetuju dengan perumpamaan UMNO ibarat sabun cap kapak dulu popular sekarang dilupakan. Ini jelas dibuktikan dengan peranan UMNO sebagai parti yang menjaga kebaikan orang-orang Melayu.

“Kalau berlaku musibah dan bencana UMNO parti yang mendahului parti-parti lain untuk memberi pertolongan dan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas dapat mengira parti.

“Itulah yang telah kami buat di Perlis kalau ada bencana seperti ribut, banjir kamilah parti utama yang orang-orang akan cari dan memohon bantuan dan kami tanpa gagal terutamanya di bahagian Kangar untuk memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka,” ujar beliau.

Terdahulu media melaporkan bahawa anak kepada seorang Menteri Besar antara enam individu yang direman sehingga esok oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Dalam penahanan itu juga, turut direman adalah setiausaha sulit kanan seorang Menteri Besar. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.