Nahas Helikopter TLDM: KPT Salur Bantuan Pendidikan Dan Kewangan Kepada Waris

KUALA LUMPUR, 25 April – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan meyalurkan beberapa bantuan pendidikan dan kewangan kepada waris-waris mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menterinya, Datuk Dr Zambry Abd Kadir berkata, KPT menzahirkan dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga sepuluh pegawai dan anggota TLDM yang terkorban pada Selasa.

“KPT menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan salam takziah kepada keluarga sepuluh pegawai dan anggota TLDM atas tragedi dua buah helikopter terhempas di Lumut, Perak pada Selasa.

“Sehubungan dengan insiden yang berlaku, KPT bersama agensi di bawahnya iaitu Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Education Malaysia Global Services (EMGS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Holdings akan menyalurkan beberapa insentif bagi membantu meringankan beban keluarga wira-wirawati yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi berkata, terdapat beberapa jenis sumbangan yang akan disalurkan kepada waris mangsa seperti wang berjumlah RM1,000 kepada 21 orang anak mangsa yang masih bersekolah melalui akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

“KPT akan menyalurkan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 setiap seorang (keseluruhan 21 orang anak mangs korban yang mash bersekolah telah dikenalpasti).

“Selain itu, KPT juga akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian sehingga tamat belajar (Program SULUNG 2.0) untuk Nurul Shahfigah binti Mohd Shahrizan (Pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Keusahawanan), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Akhir sekali, KPT akan menyalurkan sumbangan berbentuk tunai kepada waris setiap 10 keluarga terlibat. Kami turut bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan dan sokongan kepada waris mangsa terutama dalam aspek pendidikan tinggi negara. Semoga seluruh ahli keluarga tabah serta sabar menghadapi dugaan dan ujian ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi Selasa sebelum bertembung di udara.

Pesawat HOM (M503-3) yang membawa tujuh kru terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.