Mesyuarat UMNO Cawangan Peluang Beri Pencerahan Kepada Akar Umbi – Ismail Lasim

REMBAU, 25 April – Ini adalah kali pertama diadakan mesyuarat UMNO Cawangan setelah parti berada di dalam Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Selaras dengan itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling mengharapkan pemimpin-pemimpin cawangan dapat memberikan penerangan kepada akar umbi mengenai isu-isu semasa.

“Tahun ini khususnya di Negeri Sembilan merupakan kali pertama cawangan-cawangan akan mengadakan persidangan ketika UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita ingin melihat pemimpin-pemimpin cawangan dapat menggerakkan ahli-ahli parti melangsungkan mesyuarat serta memberikan penerangan tentang kedudukan UMNO pada hari ini yang berada di dalam kerajaan khususnya di bawah Kerajaan Perpaduan.

“…dan kita mesti melihat ini sebagai satu kekuatan kepada parti kerana di Negeri Sembilan mempunyai kerajaan yang stabil, kerajaan dua pertiga. Pada masa yang sama dapat memberi lebih banyak ruang untuk menjaga kebajikan rakyat. Ini merupakan satu kelebihan sebenarnya pada UMNO,” katanya.

Pada masa yang sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah itu mengharapkan semua pemimpin cawangan dapat mengadakan mesyuarat seperti yang dimaklumkan oleh pimpinan parti.

“Saya berharap khususnya di Negeri Sembilan pemimpin-pemimpin cawangan, bahagian akan dapat memastikan bahawa semua cawangan di Negeri Sembilan akan dapat mengadakan mesyuarat dengan mengikut syarat-syarat sepertimana yang ditetapkan.

“Seterusnya semua cawangan UMNO di Negeri Sembilan dapat mengadakan mesyuarat dengan kehadiran ramai ahli bagi menunaikan kewajipan mereka pada parti dan berjalan dengan lancar, insya-Allah.”

Persidangan Cawangan UMNO telah bermula pada 22 April hingga 2 Jun di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Ini akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.