MARA Perkenalkan Usahawan Locca Café Di Seluruh Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkenalkan satu lagi program usahawan di bawah Program Pro-Retail (Sektor Peruncitan) iaitu restoran Locca Café.

Menurut Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dengan kesibukan gaya hidup masa kini masyarakat lebih memilih restoran yang berkonsep suasana moden, santai, ringkas dan Locca Café menjadi produk MARA yang membuka peluang proaktif bagi usahawan-usahawan di luar sana menceburi bidang ini.

“Apa yang menariknya MARA akan memberi bimbingan sepenuhnya kepada para usahawan termasuk latihan usahawan dan pentadbiran perniagaan. Sebanyak RM750 ribu diperuntukkan untuk pembiayaan kepada usahawan yang mahu menjalankan perniagaan Locca Café ini,” katanya dalam satu perkongsian menerusi Facebook.

Pada Rabu, Dr Asyraf merasmikan Locca Café, Dataran Pahlawan, Melaka yang merupakan premis yang pertama beroperasi di luar Lembah Klang dan Locca Café yang keenam di Malaysia.

Tambah Dr Asyraf lagi, pada tahun ini sahaja di bawah sektor Pembangunan Usahawan MARA memperuntukkan sebanyak RM469 juta di seluruh negara meliputi latihan usahawan, pembiayaan serta premis dan pembangunan industri.

“Saya juga telah mengumumkan peruntukan MARA sebanyak RM20 Juta bagi pembangunan usahawan di Negeri Melaka.

“Semoga ia bermanfaat buat semua bagi membangunkan agenda pemerkasaan usahawan yang seterusnya dapat mencipta peluang ekonomi dan pekerjaan buat semua,” ujar Setiausaha Agung UMNO itu.

Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka Datuk Rais Bin Datuk Wira Yassin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Shea Shoo Chin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir Puan Leng Chau Yen dan Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) MARA Datuk Zulfikri Osman. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.