Kerjasama PRK Sebelum Ini Berterusan Di Kuala Kubu Baharu – Ahmad Maslan

HULU SELANGOR, 25 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata parti itu akan berusaha sebaik mungkin membantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu 11 Mei depan.

Beliau percaya kerjasama serta permuafakatan yang dipupuk sejak beberapa PRK yang lalu akan berterusan di Kuala Kubu Bharu nanti.

“Kita akan berusaha sebaiknya untuk pastikan calon Perpaduan menang. Inilah masa untuk kami menolong calon Perpaduan. Rakan-rakan Kerajaan Perpaduan telah membantu kita di DUN Pelangai… kita bekerjasama di Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dan akhirnya mencapai kejayaan. Kali ini… kita bantu di Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Bharu, di sini, Rabu malam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya berharap semua pihak dapat memainkan peranan tersendiri dalam usaha memastikan calon Kerajaan Perpaduan mencapai kemenangan pada 11 Mei nanti.

“Masing-masing gunakan kebijaksaan untuk memenangi PRK ini… jentera semuanya perlu berpadu dan inilah yang perlu kita semua laksanakan.

“Mudah-mudahan… mencapai kemenangan. Kita tidak ada pilihan lain kecuali menang di Kuala Kubu Baharu nanti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.